Monday, 31 October 2016

Mutiara Bonda KOMSAS Tingkatan 3

Sinopsis
Mohd. Harraz (adik) ialah ‘mutiara bonda’. Dia dibelai dengan limpahan kasih sayang, diasuh untuk menjadi seorang  yang berbudi dan beriman. Namun dugaan selalu bertandang, mencabar kesabaran bonda dalam mengasuh anak lelaki tunggalnya. Daripada malas ke sekolah, Mohd. Harraz kemudiannya tidak mahu bersekolah lagi, hanya setakat darjah enam. Namun berkat doa dan tawakal bonda, Mohd. Harraz seperti dilahirkan semula setelah terlibat dalam kemalangan dan bernasib baik kerana tidak ditangkap polis  semasa serbuan polis di sebuah pondok  yang menjadi tempat menghisap ganja. Akhirnya, Mohd. Harraz benar-benar menjadi mutiara , bersinar dan menyejukkan hati bonda. Dia telah berjaya melanjutkan pelajaran ke University al-Bayt, Jordan. Akhirnya, impian bonda untuk melihat anaknya menjadi seorang ustaz  tercapai, begitu juga dengan wasiat ayahnya.



Tema                                                                                                


Kegigihan dan kesabaran seorang ibu mendidik anaknya hingga berjaya.


Buktinya bonda gigih dan sabar dalam mendidik anaknya Mohd. Harraz (adik) sehingga berjaya melanjutkan pelajaran di Jordan.



Persoalan


i.        Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.


Contoh: Bonda sangat menyayangi Mohd. Harraz walaupun anaknya itu sangat nakal dan degil.


ii.        Kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan.


Contoh: Keempat-empat  orang anak bonda termasuk Mohd. Harraz berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.   


iii.        Keciciran pelajar luar bandar.


Contoh:  Mohd. Harraz pernah berhenti sekolah ketika berada di darjah enam.


iv.        Masalah sosial dalam kalangan remaja.


Contoh: Mohd. Harraz merokok dan rakan-rakannya  yang tidak bersekolah terjebak dalam penagihan ganja.


v.        Tekanan  hidup anak bekas banduan.


Contoh:  Mohd. Harraz menghadapi tekanan kerana bapanya pernah dipenjarakan akibat dituduh terlibat dalam kes dadah


Plot


i.        Permulaan


Pembaca diperkenalkan dengan watak bonda yang  sangat  gembira menerima surat daripada anaknya, Mohd. Harazz yang sedang melanjutkan pelajaran  di Jordan. Bonda mengimbas kembali saat-saat  ketika membesarkan adik sehingga  berjaya. Ketika  Mohd. Harraz berusia 10 hingga 12 tahun, dia sangat nakal dan degil.


ii.        Perkembangan


Pada bahagian ini, penulis menggambarkan kenakalan dan kedegilan Mohd. Harraz sehingga  dia mengambil keputusan berhenti sekolah ketika berada dalam darjah enam. Namun ibunya tetap sabar melayani kerenahnya itu.


iii.        Puncak


Mohd Harraz terlibat dalam kemalangan jalan raya . Dia diberitahu oleh ibu bahawa pondok di dusun yang selalu dikunjungi oleh Mohd.  Harraz telah diserbu oleh pihak polis. Mohd. Harraz bernasib baik kerana dia tidak berada di situ ketika serbuan tersebut dibuat.


iv.        Peleraian


Mohd. Harraz insaf atas kesilapannya  dan menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajarannya semula. Akhirnya, Mohd. Harraz berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Bayt, Jordan.



Teknik Plot


i.        Pemerian


Contoh: Pengarang memerihalkan keadaan bonda yang gembira apabila mendapat warkah perkhabaran daripada adik di Jordon


ii.        Dialog


Contoh: Perbualan antara bonda dengan adik sewaktu bonda melarang Mohd. Harraz (adik) keluar berjumpa dengan kawan-kawannya sebelum kemalangan berlaku.


iii.        Imbas Kembali


Contoh: Bonda mengingati semula kehidupan Mohd. Harraz (adik) ketika kecil terutamanya  ketika dia berusia 12 tahun. Mohd. Harraz berhenti sekolah ketika dalam darjah enam dan kemudian menyambung semula persekolahan setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.


iv.        Kejutan


Contoh:  Mohd. Harraz terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkannya patah tangan.


v.        Saspens


Contoh: Pembaca tertanya-tanya sama ada Mohd. Harraz akan berubah sikap selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya atau tidak.


vi.        Konflik


Contoh: Mohd. Harraz memberitahu bonda bahawa dia mahu berhenti sekolah. Kak Cik tidak bersetuju dan sering tidak berpuas hati dengan sikap ibu yang selalu member muka kepada adiknya itu.



Watak utama


Adik


i.        Nama penuhnya Mohd. Harraz bin Lebai Sidi.


ii.        Anak lelaki tunggal daripada empat orang adik-beradik.


iii.        Degil dan keras hati. 


Contoh: Adik tetap berdegil untuk keluar berjumpa rakan-rakannya walaupun dilarang oleh kakak dan ibunya kerana telah lewat malam.


iv.        Malas bersekolah dan terlibat dalam masalah sosial. 


Contoh: Adik berhenti sekolah semasa darjah enam dan mula merokok.


v.        Panas baran.


Contoh: Ketika adik meminta wang RM 5.00 kepada bonda untuk membeli mercun, adik telah menghempas cawan kaca sehingga serpihannya terkena kaki bonda setelah  bonda enggan memberikannya.


vi.        Insaf akan kesalahan yang dilakukan.


Contoh: Adik insaf dengan segala kesalahannya setelah terbabit dengan kemalangan jalan raya.


vii.        Berpelajaran tinggi.


Contoh: Adik melanjutkan pelajarannya di Universiti al-Bayt, Jordan.



Watak Sampingan


Bonda


i.        Ibu tunggal yang kematian suami.


ii.        Mempunyai empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.


iii.        Gigih membesarkan anak-anak.


Contoh: Bonda gigih membesarkan anak-anaknya setelah kematian suaminya.


iv.        Mempunyai impian dan keyakinan yang tinggi bahawa anak-anaknya akan berjaya dalam hidup.


Contoh: Bonda percaya bahawa suatu hari nanti anaknya Mohd. Harraz akan berubah dan peristiwa tersebut betul-betul berlaku.


v.        Sangat sabar menghadapi kerenah anak lelaki tunggalnya. 


Contoh: Bonda tetap bersabar dengan kerenah adik di usia kecilnya. Pernah ibu jari kaki bonda terkena serpihan kaca cawan yang dihempas oleh adik.


Kak Cik


i.        Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.


ii.        Kurang sabar dan agak pemarah dengan kerenah adiknya. 


Contoh:  Kak Cik menampar adik ketika mereka bertengkar.


iii.        Anak yang bertanggungjawab.


Contoh: Kak Cik sering menenangkan bonda apabila bonda kesedihan.



Latar


Latar Masa


i.        Waktu pagi


Contoh: Pada waktu pagi, pemandu van akan membunyikan hon apabila adik lambat bersiap untuk ke taski.


ii.        Waktu senja


Contoh: Bonda berdoa kepada Tuhan (Malikul Qudus) semoga adik berubah sikap.


iii.        Waktu malam


Contoh: Pada pukul 12.30 malam, adik keluar dari rumah dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.



Latar  Tempat


i.        Rumah Bonda


Contoh: Peristiwa adik menghempas cawan kaca lalu serpihannya terkena ibu jari kaki bonda sehingga terluka.


ii.        Pondok di dusun


Contoh: Peristiwa polis menyerbu pondok di dusun yang menjadi tempat kawan-kawan adik berkumpul dan menghisap ganja.


iii.        Atas katil


Contoh: Adik terlantar lesu di katil dengan kepalanya berbalut tompokan darah dan mukanya calar-balar akibat daripada kemalangan yang dihadapinya.


Latar Masyarakat                                                                                                    


i.        Masyarakat yang gigih mendidik anak.


Contoh: Bonda gigih mendidik adik yang degil, nakal dan terlibat dengan masalah sosial.


ii.        Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan.


Contoh: Bonda menyekolahkan anak-anaknya sehingga ke peringkat universiti.


iii.        Masyarakat yang mementingkan nilai kasih sayang.


Contoh: Bonda tetap menyayangi adik walaupun adik selalu menyakiti hatinya  terutamanya apabila adik mahu berhenti sekolah.


Gaya Bahasa


i.        Personifikasi. Contoh:     -    tikaman masa lampau yang menajam di ingatan


ii.        Hiperbola. Contoh:    -    melangit tingg   -    berasap-asap bara meluat


iii.        Sinkope. Contoh :    -     “Bonda yang berdosa sebab tak pandai ajar anak”


iv.        Pengulangan. Contoh :   -    tidak pernah dicubit, tidak pernah ditengking


v.        Simile. Contoh:  -     perangainya persis syaitan-     bonda bagai tercampak ke pulau hana


vi.        Peribahasa. Contoh:   -    bersengkang mata -    mengembalikan manikam ke dalam cembulnya



Nilai


i.        Nilai kasih sayang. Contoh: Bonda amat menyayangi anak-anaknya .


ii.        Nilai bertanggungjawab. Contoh: Bonda bertanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak setelah kematian suaminya.


iii.        Nilai kesabaran.


Contoh: Bonda sangat sabar mendidik anak-anaknya  terutama anak lelakinya, Mohd. Harraz yang bermasalah.


iv.        Nilai kegigihan.


Contoh: Bonda begitu gigih mendidik adik sejak adik kecil sehingga  berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.


v.        Nilai keinsafan.


Contoh: Adik insaf atas kesilapannya setelah terlibat dalam kemalangan dan mahu belajar semula.


vi.        Nilai ketabahan.


Contoh: Bonda tetap  tabah apabila suaminya dituduh mengedar dadah sehingga meninggal dunia dalam penjara.



Pengajaran


i.        Kita hendaklah gigih dalam mendidik anak-anak.


Contoh: Bonda gigih mendidik adik yang bermasalah sehingga akhirnya menjadi orang yang berjaya.


ii.        Kita mestilah bertanggungjawab terhadap anak-anak.


Contoh: Walaupun bonda seorang ibu tunggal namun bonda bertanggungjawab mendidik, membesar dan memberi kasih sayang terhadap anak-anaknya.


iii.        Kita mestilah berusaha untuk mengatasi masalah keciciran pelajar  luar bandar.


Contoh: Adik berhenti sekolah ketika  darjah enam.


iv.        Kita hendaklah mementingkan kasih sayang dalam keluarga.


Contoh: Kak Cik mendakap bonda erat-erat semasa bonda menangis selepas melihat tindakannya menampar adik.


v.        Kita haruslah sabar dalam menghadapi segala kerenah ahli keluarga.


Contoh: Bonda sangat sabar mendidik anak-anaknya  terutama anak lelakinya, Mohd. Harraz yang bermasalah.


vi.        Kita haruslah tabah menghadapi dugaan.


Contoh: Bonda tetap  tabah apabila suaminya dituduh mengedar dadah sehingga meninggal dunia dalam penjara.

0 comments:

Post a Comment

 

Angry Ainaa Template by Ipietoon Cute Blog Design

Blogger Templates